Pelepas Beban
Faridul Fawzan bin Abd Wahab

 

Kita sering menyalahkan orang lain tatkala mereka tidak menjadi seperti yang kita inginkan. Mulut pun segera mencaci dan menghina mereka, seolah-olah kita ni manusia sempurna.

Hidayah itu sememangnya milik Allah. Namun tidak bermakna bahawa Allah itu kejam apabila ada yang tidak mengecap hidayah-Nya.

 
 ” Dan sekiranya Kami berkehendak nescaya Kami berikan kepada setiap jiwa hidayah untuknya, tetapi telah ditetapkan daripada-Ku, ‘Pasti akan Aku penuhkan neraka jahanam dengan jin dan manusia bersama-sama’. ” Surah as-Sajdah, 32:13

Terbukti kadangkala hidayah itu perlu dicari. Namun, tetap saja tidak memberikan kita lesen untuk menyalahkan orang yang tidak mencarinya semata-mata. Perlu kita tanya pada diri, selebar manakah ruang yang telah kita berikan untuk insan lain mengecap hidayah serta melangkah di atas medan tarbiyyah bersama-sama kita? Adakah kita pernah mencuba atau adakah kita semata-mata mencela? Sekiranya mencuba, adakah kita tegar bertahan dan bersabar?

Tarbiyyah itu memerlukan usaha dua hala. Namun, sering saja usaha yang diimplementasikan seolah-olah bertepuk sebelah tangan. Memang ada yang menerima, namun tidak kurang juga yang menolak, malah sekeras-kerasnya. Sering kali juga reply yang diterima mengecewakan.

Namun jangan risau pejuang semua, Allah bersama-sama kita. Seperti slogan yang dilaungkan oleh haiwan-haiwan Wonder Pets, “Apa yang penting.. KERJASAMA!!” Paling tidak pun, sama-samalah kita bimbing sesama sendiri kerana diri ini sendiri pun tidak dapat menjamin keteguhan hatinya. Lupakan saja Superman, Batman, Spider-Man, mahu pun Aiman(?), kitalah superhero ummah, the ones that are chosen by Allah! ” Dan ketika suatu umat dalam kalangan mereka berkata, ‘Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab oleh Allah dengan azab yang sangat keras?’ Mereka menjawab, ‘Agar kami mempunyai alasan(pelepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertaqwa’. ” (Surah al-A’raf : 164)

Ya Allah, teguhkanlah hati ini agar bisa bersama-sama dengan para pejuang-Mu..

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pesongkan hati kami setelah Engkau berikan hidayah kepada kami, dan kurniakanlah untuk kami rahmat daripada sisi-Mu, sesungguhnya Engkau yang Maha Pemberi.” (Ali-Imran : 8)